guruku permataku....


16hb mei, 2010....

aku ingin mengucapkan selamat hari guru kepada guru-guruku, yang telah banyak berjasa mendidik aku mengenal huruf, juga mendidik aku mengenali kehidupan.

guru bagiku ialah ibu bapa yang kedua, selepas ibu bapa kandungku. apatah lagi aku kehilangan abah sejak kecil, maka kehadiran guru-guru lelaki membuatkan aku merasa juga serba sedikit percikan kasih dan sayang seorang bapa. sehingga sekarang aku masih teringat guru-guru lelakiku yang berjasa mengajar aku di sekolah rendah, ada yang hanya datang ke sekolah dengan mengayuh basikal. masya-allah sungguh indah zaman itu...



guru perempuan pula penuh keibuan mendidik dan mengajarku... zaman itu ialah zaman latih tubi, didikan yang diberikan juga keras dan padu, tetapi berlapikkan kasih dan sayang. memasuki era persekolahan menengah, hubunganku dengan guru-guru semakin berkembang. bunga-bunga semakin merbak dengan haruman kasih dan sayang terhadap golongan ini, yang selain mendidik juga turut sama menyemarakkan semangat untuk terus mara di medan pertempuran.



sepanjang aku hidup di dunia ini, aku sudah kehilangan 2 orang guru yang cukup berjasa di dalam membentuk diriku yang tidak sebebarapa ini. kedua-dua ibu didik ku itu dipanggil Illahi selepas aku meninggalkan alam persekolahan dan telah pun mula berkerja. kedua-duanya meninggal dunia akibat barah. seorang barah otak, seorang barah payudara.



sehingga sekarang kenangan kami, hari-hari yang kami lalui bersama, masih segar dan harum, tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek zaman. aku berendam air mata ketika mendengar berita sedih berkenaan guru-guruku ini, walaupun pada ketika itu aku sendiri telah pun bergelar cikgu. kasih sayang aku terhadap mereka sehingga sekarang tak pernah padam dan pudar. hanya Allah yang mengetahui... aku doakan semoga roh keduanya ditempatkan di kalangan mereka yang beriman dan ilmu mereka tak akan padam.



salah seorang darinya tak jemu mencurahkan ilmu kepadaku ketika aku nekad mengambil peperiksaan secara persendirian, tak jemu-jemu aku mengarang karangan demi karangan yang beratus-ratus panjang kalimah dan ku serahkan kepada arwah untuk diperiksa tanpa bayaran. arwah boleh menolak kalau nak diikutkan kerana aku sudah tidak bersekolah pada waktu itu. tetapi dengan senang hati dihulurkan tangannya itu.



daripada bertanda merah dengan komentar, akhir sekali di satu senja, aku menemuinya di rumahnya mengambil karanganku yang entah ke berapa kali. dia memberitahuku tak ada komentar lagi, karanganku sudah semakin baik. dia berpesan agar aku menghadapi peperiksaan dengan tenang, sabar dan kuat. dia menghulurkan karanganku dengan senyuman penuh keibuan, dan petang itulah pertemuan kami yang terakhir.... aku berjaya mendapat keputusan yang cemerlang di dalam subjek tersebut akhirnya, tetapi sayang kami tak sempat berkongsi kejayaan tersebut yang penuh berbalut jasanya...tetapi aku redha dengan ketentuan ini.



buat guru-guruku, tak kira di sekolah rendah atau menengah, aku ingin mengucapkan selamat hari guru kepada kalian. jasa-jasa kalian mengajar dan mendidik kami, pengorbanan kalian bersengkang mata menyediakan bahan untuk santapan minda kami, setiap jeritan kalian yang bersulam duka memarahi kami yang tidak beradap sopan, tak akan aku lupakan sama sekali. walaupun ada di antara kita yang telah terpisah tempat dan nyawa, kasih sayang aku tehadap kalian tak pernah pudar malahan semakin mengharum. sehingga sekarang, jika aku bertemu dengan kalian, kalau guru lelaki pasti ku tegur dengan hormat, guru perempuan pula tangan aku cium, begitu juga dengan pipi. sehinggakan ada guru perempuanku berkata " jangan cium tangan cikgu, bau tempoyok" lalu aku menjawap " bau tempoyok pun, tetap cikgu saya dunia akhirat"... aku sayang kalian sehingga kini..



SELAMAT HARI GURU!!!!!

Comments

Popular Posts