tahun kuda

esok kaum cina akan menyambut tahun kuda. kali akhir tahun kuda disambut berpuluh tahun yang lepas. aku sudah tidak ingat. jadi aku tidak tahu tahun kuda yang terbaru sebelum ini, tapi hendak tahu juga tidak susah. tolak sahaja dua belas, maka akan dapatlah jawapannya. iya, kali akhir ialah pada tahun 2002. dan esok tahun kuda muncul sekali lagi. apa istimewanya tahun kuda ini, aku kurang maklum kerana aku lahir pada tahun harimau. harimau dan kuda, dua ekor haiwan yang tidak "sekufu" langsung. mungkin sahaja kuda akan menjadi makanan harimau. tetapi aku tidak sekejam itu... jadi apa sebenarnya yang ingin aku ceritakan di sini? sebenarnya, sempena cuti tahun baru cina ini, aku ada merancang ke ampang, mengunjungi abangku dan keluarganya di sana. aku juga turut merancang mahu ke little Madras, mahu membeli beberapa keping vcd atau dvd filem hindi ( mungkin juga beberapa dvd filem tamil, nama pun little madras). kemudian aku mahu ke pasar seni, sudah lama tak ke sana. kali akhir aku ke sana aku sendiri sudah tidak ingat. dan persinggahanku yang terakhir pula ialah ampang point, tempat aku membeli dvd inggeris ( iya, aku ratu dvd). maka aku pun membuat perancangan. hari ini aku sudah mula bercuti, tapi disebabkan ada lagi beberapa laporan yang tidak disiapkan, maka aku ke tempat kerja, menyiapkan laporan kelas bersama pembantuku. dalam hati sudah berkira, mahu membeli tiket bas. seronoknya nanti, singgah di little madras, kemudian ke pasar seni, menaiki LRT.... otak aku yang pelupa ini berfungsi juga akhirnya, apabila aku teringat sesuatu. bukankah esok tahun baru cina? memang little madras tetap berfungsi, begitu juga ampang point. tapi bagaimana dengan tempat yang ingin aku kunjungi? berfungsi jugakah? aku menelefon tempat-tempat yang aku ingin pergi itu. alamak... langkah kiri rupanya. semuanya tutup. paling sadis, kedai di little madras, hari ini hari akhir operasi, buka kembali pada 4hb. apek dvd pula kembali beraksi pada ahad ini, itupun belum tentu, masih mahu makan besar. aku tersenyum. aku lupa rupanya. maka kesimpulannya, dua tiga hari kebelakangan ini aku menjadi "kuda" berlari ke sana dan ke sini, menyiapkan perancangan serta menyempurnakan kerja-kerjaku, tetapi perancanganku tidak kesampaian. hmmmmm...... nasib di tahun kuda. satu pengalaman yang tak akan aku lupakan... :) tak mengapalah... masa masih ada...

Comments

Popular Posts