Sebuah Kisah.....

seperti yang aku ceritakan dahulu, berkaitan kehilangan aku dari dunia penulisan blog ini. hari ini aku menukilkan sebuah kisah yang berkaitan dengan asbab "kehilangan" ku itu. sebenarnya aku tidak ke mana-mana. aku masih di tempat yang sama, seperti yang aku tulis pada entri aku yang terakhir dahulu. cuma, selepas itu aku menyepi. hajat mahu menyepi sebentar, tetapi akhirnya aku terus menyepi. 

banyak peristiwa yang telah terjadi. yang paling membuatkan aku sangat terkesan ialah apabila aku kehilangan abang ku pada 01hb Disember 2021. abangku telah meninggal dunia kerana menghidap penyakit hati. satu penyakit turun temurun yang diwarisi dari sebelah emak kami. 

hanya Tuhan yang tahu keadaanku pada ketika itu. aku benar-benar kehilangan, aku tidak percaya abangku meninggal dunia secepat itu. kerana aku lupa ketentuan dan takdir Illahi.  aku terima takdir ini, tetapi aku akui, aku menderita menanggung kesedihan dan rindu kepada abangku. perasaanku bercampur. sedih, sayu, pilu, hiba.....

aku jadi begini kerana aku sangat rapat dengan abangku. apatah lagi tidak seperti arwah emak, aku belum bersedia menghadapi kehilangan abangku. abangku tidak seperti emakku yang lama menderita sakit, jadi kami sudah lama bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.  arwah pula baru dapat tahu mengenai sakit yang dihidapinya, dan kami sangka arwah masih banyak masa untuk berubat. lagi pula umur arwah masih dikira muda ketika dia disahkan menghidap penyakit iaitu 46 tahun. dan dia ketika itu masih sihat serta cergas. 

pada Mac  2021 arwah telah disahkan positif Covid. walaupun telah pulih tetapi aku perasan kesihatannya semakin menurun. apatah lagi arwah turut menghidap kencing manis. dan arwah juga tidak menjaga pemakanannya. pada 22hb November arwah telah tidak sedarkan diri. arwah koma sehnggalah dia menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 01hb Disember 2021. 

aku hanya bersedia sepenuhnya untuk menghadapi kehilangannya selepas dia sudah tidak ada tanda untuk sedar dari koma, tidak seperti biasa, dia akan sedar dua tiga hari selepas mendapatkan rawatan. mulai dari saat itulah aku tahu, abang ku tidak akan bangun lagi, sampai bila-bila. 

selepas abangku meninggal, aku berusaha menguatkan diriku. aku berusaha menjadi tabah. tetapi aku menangis sendirian apabila teringatkan arwah, termasuklah ketika sedang memandu. tetapi aku tetap ingat, batasku sebagai hambaNya. antara abang dan Tuhan, aku pilih Tuhan. abangku hanya pinjaman sementara sahaja. Allah SWT yang kekal abadi. ini sahaja cara yang boleh membuatkan aku pulih dan kuat. jika tidak, mungkin aku akan menjadi seorang hamba yang derhaka kepada ketentuan Tuhan. Nauzubillah.  tapi aku tetap rindukan arwah.

 selepas arwah pergi, aku bertekad untuk membaiki amal ibadatku. aku siapkan diriku kerana seperti abangku, aku juga boleh dipanggil oleh Tuhan bila-bila masa. aku sentiasa berdoa semoga Allah temukan aku dengan abangku dan satukan kami di negeri abadi apabila tiba masanya. 

sepaling kurang, pemergian abangku membuatkan aku sedar hakikat kehidupan dan menginsafkan aku serta mengingatkan aku tentang kematian. 

kepada abangku, kita hanya berpisah alam sahaja. seperti kata Mitch Albom, "death ends a life, not a relationship" insya-Allah, bila tiba masanya, aku juga akan menyusul. semoga kita bertemu di sana. Ameen YRA. 





Comments

Popular Posts